
MELAKA: Pasukan PJ City kini menyasarkan enam mata daripada baki tiga perlawanan saingan Liga Super selepas berjaya mengikat Melaka United 1-1 di Stadium Hang Jebat di sini, semalam.
Jurulatihnya, K Devan yakin, jika sasaran itu mampu direalisasikan pasukan berkenaan bakal kekal di Liga Super.
Pun begitu, dia mengakui tiga baki saingan terbabit tetap sengit bermula dengan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jumaat ini, sebelum disusuli pertemuan dengan UiTM FC dan PDRM.
"Jika kita mampu meraih enam mata daripada baki tiga aksi ini bermakna pasukan bakal mengumpul 13 mata yang sekali gus membolehkan PJ City terus kekal dalam Liga Super musim depan," katanya.
Mengulas pertemuan dengan Melaka, Devan nyata berpuas hati selepas mengatur strategi mengelak gawang bocor pada 45 minit pertama sambil melakukan serangan balas pantas.
Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, keputusan seri 1-1 jelas satu kerugian buat pasukannya.
"Sedikit kealpaan pada saat akhir berjaya diambil peluang pelawat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan