Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 26 September 2020

MSL 2020: Jaringan Penalti Ifedayo Selamatkan Maruah Selangor



Selangor


Selangor terselamat daripada tewas buat kali kedua berturut-turut apabila jaringan penalti daripada Ifedayo Olusegun Omosuyi berjaya mengikat UiTM FC 3-3 pada aksi kesembilan CIMB Liga Super Malaysia 2020 yang berlangsung di Stadium UiTM, sebentar tadi.

Selangor yang baharu sahaja memecat B. Satiananthan hampir berada di hadapan seawal minit kesembilan apabila Shafuwan Baharuddin mendapat umpanan cantik hasil gerakan menarik Rufino Segovia.

Rembatan dari luar kawasan penalti dilepaskan oleh pemain skuad kebangsaan Singapura itu bagaimanapun sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol UiTM FC.

Skuad Gergasi Merah itu bagaimanapun berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila Ifedayo meledakkan rembatan dalam kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri ketika beliau menerima hantaran baik dari Sandro Da Silva.

Berselang enam minit kemudian, Ifedayo hampir sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring, tetapi percubaannya hasil lorongan daripada Rufino berjaya dihalang Muhammad Azfar.

Sandro kemudiannya melebarkan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama selepas rembatannya dari luar kawasan penalti terus menggegarkan jaring pasukan UiTM FC untuk gol kedua perlawanan.

Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan, para pemain UiTM FC memperkemaskan aksi di separuh masa kedua dan ia dibuktikan setelah mereka berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-48.

Jaringan tersebut dihadiahkan oleh Gustavo hasil percubaan bersahaja dengan kawalan yang baik susulan sepakan penjuru yang diambil seorang lagi pemain import, Mark Hartman.

Sedar peluang terbaik untuk mengeksplotasi kelemahan jentera pertahanan lawan, UiTM FC terutamanya menerusi Rabih Ataya seringkali memberikan ancaman berbahaya.

Keadaan itu membolehkan Rabih Ataya menggunakan kelincahannya ke dalam kawasan penalti sekaligus melakukan ‘cutback’ buat Gustavo yangc tidak dikawal untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Kombinasi dua pemain tersebut jelas terserlah selepas giliran Gustavo pula melakukan tolakan ke belakang mencari Rabih yang kemudiannya melepaskan percubaan placing menewaskan Khairuazhan Khalid di gawang Selangor.

Ifedayo berjaya menyelamatkan maruah Selangor apabila skuad yang ketika ini dibimbing oleh Micheal Feichtenbeiner itu menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung aksi selepas bola terkena tangan pemain pertahanan, Victor Clotaire Michel.

Keputusan seri ini menyaksikan Selangor menghuni tangga kelapan dengan 11 mata manakala UiTM FC menduduki tempat keempat selepas mengumpul 14 mata hasil empat kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

Kredit featured imageFA Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan