Hamidin Mohd Amin. Foto: FB FAM
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri dan kelab yang gagal melengkapkan proses penswastaan dan pelesenan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya perlu membuat keputusan tegas kali ini berhubung perkara itu demi 'menyelamatkan' arena bola sepak tempatan daripada terus dipalit dengan isu negatif khususnya membabitkan kegagalan pasukan membayar gaji pemain.
"Walaupun ada pihak yang mengatakan FAM tidak berani untuk bertindak, namun ia berbeza kali ini apabila tindakan akan dilakukan kepada mana-mana pasukan yang masih gagal melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan kelab.
“Maknanya, saya berani katakan bahawa FAM akan bertindak lebih tegas. Sebelum ini, saya sudah pun memotong mata pasukan dan melihatkan hukuman itu seakan-akan tidak begitu memberi kesan, kita akan mengenakan hukuman lebih berat.
"Jika ada pasukan yang terpaksa kita singkirkan daripada CIMB Liga Super atau Liga Premier musim depan, mereka perlu terimalah keputusan itu. Ini kerana FAM telah memberi masa yang cukup kepada setiap pihak untuk menyelesaikan proses pelesenan dan penswastaan kelab," katanya.
Hamidin berkata demikian dalam satu pertemuan bersama beberapa pengarang sukan media tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tidak menolak kemungkinan beberapa pasukan tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan jika gagal menyelesaikan proses pelesenan menjelang 31 Ogos ini dan penswastaan kelab pada penghujung bulan depan.
Mengulas lanjut, Hamidin yang juga Presiden MFL berkata, FAM perlu melaksanakan tindakan berkenaan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini bagi memberi pengajaran kepada pihak yang berkenaan.
“Apa yang saya perhatikan ketika ini, masalah mula timbul apabila berlakunya pertukaran kepimpinan atasan dalam sesebuah persatuan bola sepak negeri atau kelab.
“Sebab itulah bila saya buat kunjungan hormat dua tiga hari kebelakangan ini, ada presiden persatuan bola sepak yang kadang-kadang ambil mudah perkara ini (proses pelesenan dan penswastaan kelab).
“Kadang-kadang saya fikir saya takut keputusan tu terlampau drastik, tetapi saya rasa dah tak drastik. Masalah ini sudah terlalu lama dan memang kali ini sampai penghujung. Jika pasukan-pasukan ini ada lagi, ia akan rosakkan seluruh liga,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan