KEDAH merancang mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan bagi memantapkan persediaan skuad Lang Merah bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang PDRM yang akan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini.
Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya memerlukan satu lagi perlawanan untuk 'mengasah kuku' sebelum bermulanya kembali Liga Super pada hujung bulan ini.
"Kita masih ada seminggu lagi bagi mempersiapkan perancangan pasukan untuk misi sebenar selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan tarikh 29 Ogos sebagai permulaan perlawanan Kedah menentang PDRM nanti.
"Jadi sebelum bermulanya liga, saya merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan untuk Kedah bagi melengkapkan persediaan yang harus dilakukan untuk memulakan aksi perlawanan musim ini.
"Saya masih menunggu pengesahan dari pihak pengurusan mengenai pasukan yang sesuai dan mendapat kelulusan MFL dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan." katanya.
Aidil juga berharap skuad kendaliannya dapat terus memperbaiki setiap aspek kelemahan yang ada melalui tiga perlawanan persahabatan yang berlangsung, bermula dengan aksi di Manjung menentang Perak 2 pada 8 Ogos lalu.
"Melalui tiga perlawanan persahabatan lalu, pasukan mendapat pendedahan yang baik selepas lima bulan tidak dapat beraksi akibat Covid-19 dan setiap aspek kelemahan yang ada kini dikenal pasti dan sedang diatasi.
"Peluang juga turut diberikan kepada semua pemain untuk turun beraksi demi memastikan tahap kecergasan dan keserasian antara semua pemain berada dalam keadaan terbaik." katanya.
Melalui tiga perlawanan persahabatan lalu, Kedah mengadakan pertemuan menentang UKM FC dalam aksi di Lembah Klang manakala dua aksi lagi di utara bertemu Perak 2 dan Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan