Gambar fail, pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat diasak pemain UKM FC pada perlawanan CIMB Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Ogos lalu. - Foto Eizairi Shamsudin
KOTA BHARU: Kelantan berdepan laluan sukar apabila menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di laman sendiri esok.
Pengendali Kelantan ,Yusri Che Lah berkata, meskipun pihaknya merangkul kejayaan 5-1 ke atas UKM FC minggu lalu, ia tidak menjamin cabaran mudah esok.
"Mereka antara pasukan yang berpotensi naik ke Liga Super tahun depan, jadi saya melihat satu lagi perlawanan yang sukar walaupun kami beraksi di gelanggang sendiri.
"Saya tidak nampak kehadiran (Pulau Pinang) di sini untuk mencari keputusan seri sebaliknya merasakan mereka inginkan kemenangan," katanya ketika ditemui dalam latihan pasukan di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pasir Tumboh, di sini.
Menurut Yusri, The Red Warriors terpaksa berhadapan penjaring terbanyak liga Anselmo Casagrande yang menjadi peledak utama Pulau Pinang.
"Sudah pasti kita perlu menyekat pemain lawan daripada menghantar bola kepada Casagrande kerana dia memiliki fizikal yang tinggi dan banyak jaringan dihasilkan menerusi tandukan sejak tahun 2018 sehingga kini.
"Kehadiran Pulau Pinang Sabtu ini lebih ke arah bagaimana kami nak menyekat bentuk serangan skuad kendalian Manzoor (Azwira)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan