Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 28 Ogos 2020

Gol sulung lonjak semangat Luqman


Gambar fail, Luqman Hakim Shamsudin memperagakan jersi KV Kortrijk selepas menandatangani pada Majlis Menandatangani Perjanjian Luqman Hakim Shamsudin dan KV Kortrijk di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad







KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak mengambil masa lama untuk mencipta kejutan apabila mencetak gol pertama di bumi Belgium biarpun tewas 1-4 kepada KRC Gent dalam aksi perlawanan persahabatan, semalam.
Dalam perlawanan itu, Luqman diturunkan bersama skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk (KVK) dan berjaya melakarkan gol pertama sepanjang bermain 60 minit aksi.



Kemudian pemain berusia 18 tahun itu dikeluarkan ketika perlawanan terikat 1-1 sebelum keputusan akhir 1-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Mengulas pencapaiannya itu, penyerang kelahiran Kota Bharu berkenaan percaya dia masih perlu memperbaiki beberapa aspek sebelum mendapat peluang bermain bersama skuad senior KVK.
Bagaimanapun, Luqman tidak menolak jaringan pertamanya itu melonjakkan moralnya untuk memberikan persembahan lebih positif buat pasukan yang dimiliki pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.
"Saya sangat gembira kerana sudah selesai tempoh kuarantin dan negatif dalam kedua-dua ujian COVID-19. Saya juga menjalani sesi latihan penuh sepanjang tiga hari lalu.
"Saya juga sangat gembira kerana dapat bermain dalam perlawanan pemanas badan bersama pasukan kedua di mana saya bermain dalam perlawanan persahabatan petang semalam (kelmarin).
"Saya berjaya menjaringkan satu gol walaupun kami tewas 1-4 ketika menentang salah satu kelab tempatan di sini di mana saya dikeluarkan pada minit ke-60 ketika perlawanan terikat 1-1.
"Sekarang saya fokus kepada program istimewa untuk membina fizikal serta tahap kecergasan. Itulah yang dimahukan pengurusan sekarang.
"InsyaAllah saya dapat bermula untuk bermain bersama pasukan dalam Jupiler League Belgium 10 hari akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Luqman mengakui keyakinannya bertambah baik berkat sokongan daripada keluarga angkatnya.
Katanya, dia dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat selepas mendapat bantuan daripada ayah angkatnya, Arnout Vercruysse yang sering membantunya ketika di luar padang.
"Semakin hari semakin bertambah keyakinan saya. Saya sangat bersyukur kerana memiliki keluarga angkat yang amat baik.
"Bapa angkat saya adalah adalah bapa tunggal yang berpisah dengan isterinya. Pekerjaannya membabitkan perjanjian sosial komuniti berkaitan bekalan makanan.
"Beliau memiliki seorang anak lelaki yang berusia lima tahun bernama Ruben dan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun bernama Merel.
"Mereka memberikan layanan cukup baik dan Jumaat ini Insyaallah beliau akan membawa saya pergi menunaikan solat Jumaat.
"Apa yang pasti, keluarga angkat saya adalah penyokong setia KVK dan sahabat karib kepada Timbalan Ketua Misi Kedutaan Belgium di Kuala Lumpur, Mathias Vanheusden.
Sementara itu, jurucakap kelab KVK mengakui kagum dengan persembahan Luqman yang berjaya melakarkan gol pertama buat kelab Belgium itu dalam tempoh singkat.
Katanya, jaringan itu memberikan petanda baik buat Luqman sebelum diberikan peluang bermain bersama skuad senior sebaik Jupiler League Belgium bermula.
"Luqman memiliki segala-galanya pada peringkat usia muda. Kami telah melihat keupayaannya menjaringkan gol pertama dalam perlawanan persahabatan.
"Perlawanan ini adalah untuk tahap kecergasannya tetapi saya akui bahawa KVK perlu bekerja keras untuk membentuk fizikalnya.
"Paling mustahak sekarang, dia harus bersedia dan berada di tahap terbaik kerana Jupiler League Belgium adalah satu pertandingan cukup kompetitif.
"Sekarang tiba masanya buat Luqman mencapai tahap kecergasan terbaik dan kami gembira dia sudah menamatkan tempoh kuarantin serta negatif dalam kedua-dua ujian COVID-19," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan