PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkeras tetap tidak akan bersetuju dengan pengenalan harga siling dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Jelas Tunku Ismail, sebaliknya setiap pasukan perlu 'mengukur baju di badan sendiri' dengan berbelanja secara berhemah dan terkawal.
Malah katanya, pengurusan yang tidak bijak berbelanja perlu diuruskan individu lain yang lebih memahami cara pengurusan terbaik.
"Pemain tidak perlu harga siling. Pengurusan kelab perlu lebih berdisiplin dalam berbelanja mengikut kemampuan pasukan.
"Dan segelintir pihak juga perlukan pentadbir baharu dalam pasukan," katanya di laman Twitter miliknya selepas terdapat gesaan beberapa pihak supaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan harga siling itu.
Gesaan itu susulan beberapa pasukan Liga-M dilihat terhimpit dengan masalah hutang terutama tunggakan gaji ke atas pemain dan jurulatih.
Terbaharu, pasukan Kedah terpaksa menanggung bebanan hutang RM10.6 juta yang perlu dilunaskan kepada pemain dan pegawai yang tidak menerima gaji sejak lima bulan lalu.
Pengurusan baharu pasukan Kedah yang kini diterajui oleh Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor turut mendedahkan pemain negeri itu ada yang menerima pendapatan sehingga RM125,000 sebulan yang dianggap cukup tinggi.
Bagaimanapun, kenyataan Tunku Ismail yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia sudah beberapa kali disuarakannya.
Malah, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini turut menolak cadangan itu kerana ia dilihat seperti mengambil langkah ke belakang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan