
Namun empat pasukan - PJ City, Terengganu FC (TFC), UKM FC dan Kelantan akan berentap lebih awal pada 22 Ogos bagi melengkapkan perlawanan mereka yang tertangguh sebelum ini.
Walaupun perlu bermula lebih awal, ketua jurulatih PJ City, K Devan tetap percaya anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi aksi pertama berdepan TFC selepas liga ditangguhkan sejak Mac lalu.
"Tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan yang memuaskan dan tiada yang mengalami kecederaan serius," kata Devan.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam mengumumkan Liga M akan bersambung semula pada 26 Ogos dengan pasukan hanya dibenarkan mengadakan aksi persahabatan bermula 2 Ogos.
Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan menganggap semua pasukan mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan pasukan masing-masing sebelum kembali beraksi dalam saingan Liga M.
"Sekarang ini kita tidak boleh lagi mengadakan perlawanan persahabatan sehingga 2 Ogos. Tapi selepas itu, kami mungkin akan mengatur empat atau lima perlawanan persahabatan.
"Apa yang positifnya adalah kita sudah tahu bila liga akan disambung dan bila boleh adakan aksi persahabatan. Bagi Selangor, apa yang penting kita perlu memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.
"Ia kerana apabila liga bersambung kita tidak boleh bermula perlahan, jadi untuk perlawanan pertama itu kita sudah perlu memberikan aksi terbaik," kata Sathianathan.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata pasukannya perlu mengatur beberapa aksi persahabatan untuk memperkemaskan pasukan selepas lama berehat.
"Ketika latihan tanpa sentuhan, kami banyak melakukan latihan kecergasan, tapi ia tidak mencukupi. Alhamdulillah, sekarang semuanya termasuk latihan dengan kontak penuh sudah dibenarkan, cuma kami perlukan dua atau tiga aksi persahabatan selepas ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan