Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 31 Julai 2020

Saingan Liga Super diramal sengit sebaik disambung semula

Persaingan untuk kekal di Liga Super musim ini dilihat lebih sengit. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Persaingan untuk kekal di Liga Super musim ini dilihat lebih sengit terutama selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengekalkan format kelayakan dan penyingkiran seperti kebiasaan sekalipun saingan hanya satu pusingan.
Ini bermakna pasukan yang berada dalam zon bahaya hanya memiliki tujuh perlawanan untuk 'menyelamatkan' diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan sekali gus bakal menyaksikan saingan yang lebih mencabar.
Ketika ini, Melaka United (MU) dan PDRM menghuni zon penyingkiran dengan kesukaran pasti dihadapi oleh skuad The Cops yang ketika ini masih negatif dua mata selepas memulakan kempen musim ini dengan dipotong tiga mata susulan kegagalan melangsaikan tunggakan gaji.
Bagaimanapun, dengan empat perlawanan yang baru berlangsung, jarak mata antara pasukan tidak besar namun sebarang keciciran mata pasti menyukarkan mereka memandangkan saingan kali ini lebih pendek berbanding tahun sebelum ini.
Perkembangan mengenai format kelayakan dan penyingkiran itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan, kelmarin.
"Format kelayakan dan penyingkiran kekal seperti biasa di mana dua pasukan terbawah Liga Super 2020 akan turun ke Liga Perdana musim 2021 sementara dua pasukan teratas Liga Perdana akan naik ke Liga Super musim 2021," katanya.
Terdahulu, isu penyingkiran menjadi tumpuan susulan saingan liga yang kekurangan aksi selepas 'dipotong' separuh.
Setiausaha Kehormat Kelab Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA), ACP Zulkefly Yahya dilaporkan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL membuat pertimbangan sewajarnya mengenai isu penyingkiran bagi musim hadapan.
"Kita minta konsep penyingkiran itu dikaji semula dalam keadaan kami bermula dengan potongan tiga mata dan saingan liga pun hanya berlangsung satu pusingan.
"Jadi kami merayu FAM dan MFL boleh mempertimbangkan mengenai perkara ini. Ini hanya cadangan dan kita tidak boleh memaksa mereka kerana terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan.
"Kalau terpaksa turun (ke Liga Perdana) pun, apakan daya kami tiada masalah. Namun, kami optimis untuk terus bersaing bersama pasukan lain," katanya sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan