
LA PAZ, Bolivia: Presiden Persekutuan Bolasepak Bolivia (FBF), Cesar Salinas meninggal dunia pada Ahad, akibat jangkitan COVID-19 selepas menerima rawatan lanjut di hospital sejak awal bulan ini, menurut pegawai badan induk itu.
Persekutuan bola sepak terbabit mengesahkan kematian pemimpin mereka itu dalam satu kenyataan yang turut menyatakan akan sikap 'dedikasi dan komitmennya kepada bola sepak negara berkenaan dan antarabangsa'.
Salinas, 58, menerajui FBF sejak 2018.
Mendiang adalah pengarah kelab The Strongest di bandaraya ini, sebuah institusi bola sepak di Bolivia yang berusia 100 tahun. Isterinya, yang juga ketua kelab terbabit, sebelum ini juga disahkan positif COVID-19.
"Salam takziah kepada keluarga dan sahabat Presiden Persekutuan Bolasepak Bolivia, Cesar Salinas. Mereka semua mendapat sokongan dari saya sepanjang tempoh sukar ini," tulis Presiden Interim Bolivia, Jeanine Anez dalam satu hantaran menerusi akaun Twitter miliknya.
Salinas sebelum ini mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi menyambung semula saingan bola sepak di Bolivia selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Setakat ini, Bolovia mencatatkan sebanyak 58,136 kes dengan 2,106 kematian.
- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan