KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan terdapat pemain skuad Lang Merah dibayar gaji RM125,000 sebulan ketika ini.
Dalam satu komen menerusi akaun Instagram helangmerah.tre, bekas Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun mengakui memang ada pemain yang dibayar dengan gaji sebanyak itu sebelum musim 2018.
Dalam penjelasannya beliau berkata, pengurusan KFA di bawah pimpinannya pernah membuat rundingan semula bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung persatuan berkenaan.
"Setahu saya tiada pemain Kedah yang gaji cecah RM125,000 sekarang ini. Tapi sebelum 2018 memang ada," kata Mukhriz.
"Pengurusan KFA zaman saya yang runding semula supaya belanja tahunan menurun tanpa menjejaskan kebajikan pemain dan seluruh pasukan. Namun, kos naik semula bila KFA layak ke (kejohanan) AFC.
"Kami tetap berusaha untuk membiayai segala kos melalui geran kerajaan Kedah, PKNK dan swasta. Belum sempat KFA dapatkan penajaan, pertukaran kepimpinan pula berlaku."
Sebelum ini, Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat pemain Kedah yang dibayar gaji hingga RM125,000 selain mendakwa perbelanjaan melebihi kemampuan yang dibuat pengurusan lama menjadi antara faktor persatuan itu dibebani hutang RM10.6 juta.
Selain itu, Mukhriz turut meminta Muhammad Sanusi supaya tidak bertindak menuding jari terhadap pengurusan lama.
"Saya harap presiden sekarang tidak tuding jari kepada kepimpinan terdahulu dan usahakan sedaya boleh untuk selesaikan masalah yang ada.
"Kami juga buat begitu apabila warisi dari kepimpinan terdahulu. Sebenarnya yang lebih teruk lagi yang kami warisi ketika itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan