Luqman Hakim, Wan Kuzri terpilih kem latihan pusat fasa 2 skuad B-19
Jurulatih skuad B-19, Brad Maloney melakukan kejutan apabila menyenaraikan Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal dalam kem latihan pusat fasa 2 untuk skuad B-19 sebagai persiapan untuk Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan.
Dalam laporan media sebelum ini, Luqman sepatutnya terbang ke Belgium untuk menyertai KV Kortrijk manakala Wan Kuzri dilaporkan perlu pulang ke Amerika Syarikat sebagai perjanjian FAM dengan kelabnya St. Louis FC.
Namun, senarai itu membuktikan bahawa kedua-dua pemain berusia 18 tahun itu akan terus kekal di negara ini dan berlatih bersama-sama bermula 3 hingga 30 Ogos.
Daripada 30 pemain yang dipanggil, Maloney mengekalkan 26 pemain daripada kem latihan pusat fasa 1.
Selain Luqman, dua lagi pemain baharu yang tersenarai adalah penjaga gol Ahmad Irfan Ibrahim (Terengganu ); pemain tengah Ziad Al Basheer (AMD) dan Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri (AMD).
“Maloney masih dalam proses penilaian pemain sebelum meneruskan kem latihan Fasa 3 pada September bagi memilih senarai akhir 23 pemain yang akan ke Uzbekistan,” menurut kenyataan FAM.
Pada pusingan akhir di Uzbekistan, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada 16 Okt, diikuti aksi kedua menentang bekas juara Qatar (19 Okt) dan aksi terakhir berdepan Yaman pada 22 Okt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan