Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 26 Julai 2020

JDT II matangkan Umar


KEMUDAHAN latihan bertaraf dunia serta rakan sepasukan yang cukup berpengalaman dalam skuad Johor Darul Ta'zim II (JDT II) banyak mematangkan corak permainan tonggak pertahanan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Umar Hakeem Suhar Redzuan.

Lantas, tonggak berusia 17 tahun itu yakin bahawa dirinya sudah bersedia untuk merebut tempat dalam skuad negara yang ketika ini sedang mempersiapkan diri menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, Oktober ini.

Katanya, nasihat dan tunjuk ajar pemain-pemain senior di JDTII cukup bermanfaat dan ia dijadikan panduan untuknya bersaing secara sihat dengan pemain-pemain lain sepanjang sesi latihan fasa pertama selama tiga minggu yang berakhir semalam.

"Dekat JDTII banyak pemain-pemain yang dah matang, umur dah meningkat naik, maksudnya semua pemain-pemain di sana sudah ada pengalaman yang tinggi.

"Jadi bila saya berlatih dengan mereka banyak benda saya belajar untuk terapkan di sini (latihan skuad B-19)," katanya.

Jelasnya lagi, kebanyakan pemain sudah mula menunjukkan tahap keserasian yang baik walaupun hampir separuh daripada 30 pemain yang dipanggil kali ini adalah muka baharu.

"Bagi saya kebanyakan pemain makin matang, separuh daripada pasukan banyak main dalam pasukan utama di negeri masing-masing dan banyak belajar dari sana.

"Ini perkembangan yang positif dalam pasukan dan saya yakin kami akan terus meningkat apabila bermulanya latihan fasa kedua pada bulan depan," katanya yang juga tonggak utama pasukan di pusingan kelayakan AFC B-19 di Kemboja tahun lalu.

Pada peringkat kelayakan itu, skuad kendalian Brad Maloney membuat kejutan dengan menyingkirkan Thailand untuk muncul juara Kumpulan G sekali gus layak secara automatik ke Uzbekistan.

Bagaimanapun, di pusingan akhir itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan D yang turut dihuni bekas juara 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yaman.

Untuk rekod, empat pasukan terbaik akan meraih tiket ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan