KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya setiap pasukan berjaya mencapai kata sepakat bagi rundingan pampasan jurulatih skuad Piala Presiden, Piala Belia dan juga pasukan futsal selepas tiga saingan itu terpaksa dibatalkan susulan COVID-19.
Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan kesimpulan itu dibuat bersandarkan kepada fakta selepas tiada apa apa laporan yang diterima oleh badan induk itu dan juga aduan menerusi Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) membabitkan isu itu kecuali dua kes yang sudah pun berjaya diselesaikan.
"Selepas saya membaca kenyataan yang dikeluarkan Presiden PJBM (B Satianathan), saya boleh sahkan laporan itu adalah tepat. Namun tiada apa apa lagi laporan yang diterima sama ada secara terus daripada jurulatih kepada FAM atau menerusi PJBM.
"Dua kes ini dikemukakan kepada PJBM dan PJBM kemukakan kepada FAM. Jadi kita bekerjasama untuk selesaikan perkara ini.
"Jadi saya berpendapat semua pasukan sudah mengikut garis panduan yang ditetapkan kerana kalau tidak ikut, sudah pasti ada laporan. Jika tiada laporan, saya terima perkara ini dapat diselesaikan dan berjalan lancar antara jurulatih dengan pasukan," katanya.
Terdahulu, Sathianathan yang juga jurulatih Selangor meminta mana-mana jurulatih yang berdepan isu gaji dan pampasan tidak berdiam diri, sebaliknya membuat aduan rasmi kepada persatuan itu.
Beliau mendedahkan hanya dua jurulatih yang tampil mengemukakan aduan rasmi kepada PJBM selepas FAM membatalkan saingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) pada Jun lalu, dengan pasukan perlu membayar 'pampasan' sekurang-kurangnya 25 peratus daripada gaji keseluruhan kepada jurulatih dan pemain.
Katanya, PJBM tidak boleh mengambil apa-apa tindakan sekiranya ramai jurulatih yang hanya menyuarakan masalah mereka dengan pasukan masing-masing tanpa membuat aduan rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan