PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) kini berhadapan dengan bebanan tinggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk gaji dan lain-lain sejak tahun lalu dan masih dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor yang baru dilantik pada 12 Julai lalu berkata, meskipun terpaksa berhadapan dengan kemelut itu, KFA tetap prihatin dengan isu gaji dan kewangan serta sedang bekerja keras bagi memastikan perkara ini dapat diatasi dengan kaedah yang terbaik.
"Saya nak jelaskan kepada peminat yang khususnya prihatin kepada pasukan, saya pun turut prihatin, tetapi masalah gaji ini sudah berlaku sejak tahun lalu dan bukan sahaja tunggakkan gaji, tetapi membabitkan juga jumlah tunggakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tunggakan tiket pengangkutan.
"Perkara ini bukan berlaku dua minggu lepas tapi sejak tahun lalu dan pada masa itu tidak ada siapa pun yang merungut dan selepas saya memegang jawatan dalam dua minggu, ada pula yang 'hentam' saya, ini saya rasakan tidak patut," katanya dengan nada tegas.
Sanusi juga berkata, beliau dan pihak pengurusan KFA akan mengkaji sedalam-dalamya mengenai perancangan yang dilakukan pengurusan tertinggi lalu sebelum menilai semula kesesuaian perancangan termasuk pemotongan gaji yang bakal dilakukan KFA seterusnya.
"Kita akan ada mesyuarat eksekutif pada 3 Ogos ini untuk akan saya tengok apakah pelan sedia ada di KFA pada masa lalu yang mereka (pengurusan lama) buat kerana ada komitmen yang tidak diukur dengan keupayaan sebenar kita.
"Kalau perlu 'overhaul' (perbaiki), semua dalam KFA kita akan 'overhaul', dan kalau perlu pada pemotongan gaji, kita akan cadangankan pemotongan gaji, memang FAM ada beri kelonggaran berkaitan perkara itu.
"Sebagai contoh kalau kita rasa keupayaan kita bayar gaji RM20,000, kita bayarlah RM20,000 dan siapa yang sanggup bermain untuk Kedah dengan bayaran berkenaan sila tunggu.
"Kalau kita rasa tak patut dan gaji kita sepatutnya RM100,000, KFA akan buka pintu untuk mereka mencari tempat yang lebih baik dari segi kewangan bagi pemain itu.
"Kenapa pengurusan lama buat pelan perbelanjaan KFA tidak berdasarkan keupayaan sebenar KFA dan kenapa sign (tandatangan) kontrak dengan pemain begitu mahal gaji sampai mencecah RM125,000?
"Ia seolah tidak ukur baju dibadan sendiri dan pada masa itu kesilapan sudah berlaku dan tiada siapa tegur, malah peminat pun duduk diam saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan