Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 21 Februari 2020

Tiga pengadil wanita warnai Liga M


Rita Gani (kiri), Nurul Ain (tengah) dan Nur Akmal.

KUALA LUMPUR: Bukan dua, tetapi tiga pegawai perlawanan wanita yang dipilih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengadili saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mereka terdiri daripada dua pengadil Rita Gani, 43, dan Nurul Ain Izatty Zainal, 22, serta seorang penolong pengadil Nur Akmal Anuar, 32.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan langkah memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.
“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap kecil dan dengan aksi mereka di pentas Liga Super serta Liga Perdana nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak,” kata Hamidin.
“Ketiga-tiga pengadil ini sudah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita termasuk di pentas antarabangsa bagi Rita dan Nur Akmal yang juga Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA selain Nurul Ain cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.
“Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.
“Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya yakin Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin.”
Rita pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014 dan berpengalaman luas mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
Nurul Ain pula menceburkan diri dalam bidang pengadilan ini pada usia yang cukup muda dan pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017 manakala Nur Akmal cukup konsisten prestasinya sepanjang bergelar penolong pengadil.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Md Dali Wahid menjelaskan, mereka akan dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Liga Perdana terlebih dahulu sebelum dinaikkan pangkat untuk mengendalikan perlawanan Liga Super.
“Untuk permulaan, mereka akan mengadili perlawanan Liga Perdana dan Piala FA yang mana Nur Akmal akan menjadi penolong pengadil bagi perlawanan pusingan pertama, SSFC menentang Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson, Sabtu ini,” kata Md Dali.
“Selepas melihat dan memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan Liga Perdana dan pusingan awal Piala FA ini, selain mereka sendiri sudah cukup bersedia untuk meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi, baru kita akan lantik mereka untuk perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan