
AHLI Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan. NSTP/Azhar Ramli.
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia memutuskan dua slot automatik untuk beraksi di Piala AFC bagi musim 2021 akan diberikan kepada juara Piala FA dan naib juara Liga Super.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20 kelmarin selepas pengendali Liga Malaysia itu dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC.
Sementara slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal milik juara Liga Super. Sebelum ini, Malaysia hanya meraih satu slot automatik ke ACL dan satu slot pusingan playoffACL.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL selaku pengendali Liga Malaysia (Liga M) gembira dengan perkembangan terbaru itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
“Kita sudah dimaklumkan mengenai penambahan slot ini namun masih menunggu surat rasmi daripada AFC,” kata Abdul Ghani.
“Kita sudah membuat keputusan awal berhubung perkara ini supaya dapat memberikan penjelasan awal kepada semua pasukan Liga M.
“Apa yang pasti, tambahan slot ke Piala AFC ini akan menyuntik semangat buat semua pasukan memberi saingan lebih kompetitif bagi merebut slot berkenaan.”
Bagi musim ini, wakil Malaysia yang bersaing di peringkat kumpulan saingan ACL adalah juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Kedah terkandas di peringkat playoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan