Stadium Shah Alam dijadualkan akan menjalani pemeriksaan sekali lagi pada minggu ini untuk memastikan ianya benar-benar bersedia untuk digunakan di saingan Liga Malaysia 2020.
Laporan oleh Bernama berkata aspek kerosakan bumbung dijangka menjadi fokus utama pemantauan pada kali ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), Mohd Fahmi Mohd Nordin yang berkata pemeriksaan tersebut turut akan melibatkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Malaysian Football League (MFL).
Menurut Mohd Fahmi, pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pihak MFL sebelum ini tidak menyentuh mengenai aspek kerosakan bumbung.
Tetapi ia hanya memberikan tumpuan kepada usaha penambahbaikan permukaan padang dan keadaan bilik persalinan pemain.
“Kita (DEFM) akan ada satu lagi pemeriksaan dengan MFL dan FAS dalam beberapa hari ini, jadi kita tunggu dan lihat apa ketetapan bakal dibuat. Mengenai pemeriksaan sebelum ini, ia lebih kepada spesifikasi lain dan MFL tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan bumbung,” kata Mohd Fahmi kepada Bernama.
Sebelum ini Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dipetik sebagai berkata FAS telah dimaklumkan mengenai keadaan bumbung dan padang yang perlu diperbaiki atau berisiko tidak dibenarkan beraksi di stadium tersebut pada musim ini .
Menurut Mohd Shazli sebelum ini, semua venue membabitkan aksi Liga Malaysia musim ini perlu mendapatkan kelulusan dengan menepati tahap piawaian ditetapkan, sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Feb.
Mohd Fahmi bagaimanapun berkata kerja-kerja membaik pulih stadium tersebut tidak dapat dilakukan sebelum bermulanya liga.
Namun demikian Mohd Fahmi mengesahkan pihaknya hanya boleh memberi jaminan dari segi pemantauan rapi mengenai tahap keselamatan penonton sehingga kerja-kerja membaik pulih yang dijangka dilakukan tahun ini bermula, sekiranya Selangor dibenarkan terus menggunakan stadium tersebut.
“Masalah kerosakan bumbung menjelang pembukaan liga musim ini memang tiada sebarang penambahbaikan akan dilakukan, tetapi kita akan membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa terutama jika cuaca ribut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan