PENGERUSI Jawatankuasa Program Naturalisasi, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Azhar Ramli
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan mereka mewujudkan program naturalisasi menegaskan ia sememangnya satu keperluan bagi membolehkan mereka ‘mengaum’ di peringkat Asia.
Meskipun timbul polemik susulan ‘kelulusan’ pemain tengah Kosovo, Liridon Krasniqi yang disifatkan begitu mudah mendapat kerakyatan menerusi program naturalisasi, namun Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui program terbabit perlu dilaksanakan bagi memastikan bola sepak negara tidak ketinggalan dengan negara yang turut mengambil pendekatan sama.
“Saya rasa bola sepak bukanlah sukan pertama yang menaturalisasikan pemain. Biasalah bila apa sahaja kita buat, mesti ada yang setuju dan yang tak setuju tetapi rata-rata peminat bola sepak bersetuju dengan pengambilan pemain naturalisasi.
“Kita lihat ada keperluan untuk ambil pemain import kerana sekarang kita fikir bukan setakat mahu bersaing di ASEAN sahaja tetapi kita juga mahu bersaing di peringkat Asia.
“Kalau mahu bersaing di Asia, kita akan berdepan pasukan gergasi dan untuk itu, kita perlu menyediakan pemain yang berkualiti dan menepati standard Asia. Sebab itulah FAM berpendapat perkara ini sebagai satu keperluan,” katanya.
Dalam masa sama, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menjelaskan program naturalisasi bukanlah bermakna badan induk itu memperkecilkan bakat tempatan namun pemain naturalisasi disifatkan dapat membantu perkembangan pemain tempatan secara tidak langsung.
“Bukan menidakkan kemampuan pemain tempatan tetapi saya harap ini dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka. Kalau kita hanya tunggu pemain tempatan semata-mata mungkin akan ambil masa lagi panjang untuk kita ke peringkat Asia.
“Saya tengok ada perubahan dalam pemain tempatan mungkin disebabkan unsur pemain berdarah campuran dan naturalisasi dalam skuad kebangsaan. Ia membangkitkan moral pemain tempatan untuk menyamai kemampuan mereka,” katanya.
Setakat ini, skuad Harimau Malaya memiliki dua ‘Harimau Import’ iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon.
Namun Liridon yang kini beraksi beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu sebelum dibenarkan bermain untuk pasukan kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan