
HAMIDIN bersama delegasi FAM disambut meriah oleh kakitangan JFA sejurus ketibaan di JFA House.- FACEBOOK FAM
KUALA LUMPUR - Debaran siapa tujuh pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang bakal dipilih beraksi dalam kancah Liga Jepun (Liga J) mungkin terjawab dalam masa terdekat selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat kunjungan ke negara matahari terbit itu.
Kunjungan tersebut bertujuan mengadakan perbincangan dua hala melibatkan FAM dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) di Tokyo, selain memenuhi ruang kerjasama berpandukan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Pejabat Perdana Menteri, April lalu.
Delegasi FAM ke Jepun diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, atas jemputan rakan sejawatannya dari JFA, Kohzo Tashima, selepas hampir lima bulan menandatangani MoU tersebut di Putrajaya.
“Lawatan di JFA House ini membuka ruang pembangunan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan futsal serta jalinan hubungan kerajaan.
“Selepas pembentangan kertas kerja dan perbincangan dua hala ini, FAM berharap dapat memuktamadkan beberapa elemen permuafakatan untuk JFA membantu FAM menambah baik prestasi pemain secara individu dan kelompok pemain secara berpasukan.
“FAM menghargai ketelusan JFA yang membincangkan hala tuju dan cabaran membangunkan bola sepak di negara itu secara telus.
“Pertemuan dua hala ini sangat terbuka dan telus di mana kedua-dua negara berbincang mengenai cabaran sedia ada, kekuatan dan kelemahan serta idea yang boleh dijadikan panduan kepada pembangunan bola sepak di peringkat tempatan,” kata FAM yang mengadakan perbincangan itu selama lima hari bermula hari ini.
Pada 10 lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika membuat lawatan ke kelab divisyen kedua Jepun, Fagiano Okayama memberitahu, FAM akan menyerahkan tujuh nama pemain dari AMD ketika berkunjung ke Jepun hujung bulan ini.
Jelasnya, penyerahan nama pemain itu penting bagi mengasah bakat pemain muda, di samping Malaysia sudah pun memiliki seorang pencetus yang kini beraksi bersama Fagiano iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Sementara itu, setakat Mac 2019, JFA memaklumkan kepada delegasi FAM bahawa Jepun mempunyai sejumlah 889,959 pemain, 27,918 pasukan, 81,883 jurulatih dan 274,544 pengadil, dengan jumlah penduduk Jepun adalah 127 juta.
Delegasi FAM turut dibawa ke Muzium bola sepak JFA yang mempertontonkan sejarah serta pencapaian bola sepak Jepun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan