Pengerusi Perbada­nan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan bahawa kualiti stadium tersebut akan terpelihara dan akan muncul sebagai venue terbaik di Asia dengan pasukan kebangsaan tidak lagi dihantui masalah padang.
Menurut Tony, pi­haknya bukan sahaja optimis untuk melakukan penambahbaikan ke atas padang bahkan bakal mewujudkan Muzium Harimau Malaya dan kedai rasmi bara­ngan pasukan kebangsaan untuk ko­mersial.
“Sebenarnya, padang tidak terlalu teruk dan kita akan terus berusaha menjadikannya semakin baik.
“Kami akan pantau kualiti dan akan melihat kepada padang di negara jiran yang berdepan cuaca sama dengan kita.
“Janji saya adalah untuk menjadikan padang ini yang terbaik di Asia. Jangan ketawa kerana saya serius akan perkara ini,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan PSM di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin; Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Rama­lingam.
Perjanjian yang dime­terai antara FAM dan PSM itu menyaksikan kesemua perlawanan skuad Harimau Malaya di laman sendiri sepanjang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.