Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 16 Ogos 2019

PREVIU - PIALA MALAYSIA PM3. #PialaMalaysia2019


PREVIU - PIALA MALAYSIA PM3

Aksi Piala Malaysia akan bersambung malam ini dengan pusingan ketiga (PM3)!

Dalam Kumpulan A, PKNS FC akan melayan kunjungan Kedah di Stadium Shah Alam dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan kedua dalam kempen Piala Malaysia 2019.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu jentera serangan pasukannya mempertingkatkan ketajaman dalam perlawanan ini.
Kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) minggu lalu memaksa skuad Helang Merah untuk lebih fokus memperkemaskan aspek serangan.

“Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman bertekad untuk mempertingkatkan ketajaman serangan dalam usaha memburu tiga mata berdepan PKNS FC.

“Kekalahan kepada TFC telah meninggalkan kesan negatif kepada pasukan. Bagaimanapun, kita mahu pastikan momentum yang kita mulakan dengan kemenangan ke atas Negeri Sembilan (3-0) dalam perlawanan pertama di Paroi dapat disambungkan selepas ini,” kata Aidil.

Dalam perkembangan lain, Kedah terpaksa bermain tanpa pemain pertahanan tengah, Azmeer Yusof yang masih belum pulih dari kecederaan kaki yang dialami sebelum menentang TFC.

Pemain sayap, Farhan Roslan dan Azamuddin Akil, termasuk pemain tengah David Rowley mungkin tidak dapat diturunkan juga kerana kecederaan.”

Skuad Semut Merah mengakhiri kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan dengan tiga mata penting dalam perlawanan lepas menentang Negeri Sembilan dan akan memburu kemenangan pertama ke atas Kedah sejak musim 2015.

Penyerang Liberia, Kpah Sherman, telah menyumbang dua bantuan gol setakat ini dalam aksi Piala Malaysia dan telah menjaringkan 11 daripada 16 gol musim ini di Stadium Shah Alam.

Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk perlawanan menentang PKNP FC dalam aksi Kumpulan B.

JDT yang mengungguli kumpulan dengan dua kemenangan manakala PKNP telah merekodkan satu kemenangan selepas dua perlawanan.

Bagi ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, perlawanan menentang PKNP FC adalah mencabar tatkala pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Ini adalah perlawanan sukar. Dalam aksi Liga Super, kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. PKNP FC memiliki barisan pemain yang berkualiti dan mampu memberi tentangan sengit.

“Kami tidak boleh selesa dengan dua kemenangan yang diraih sebaliknya harus menggandakan usaha untuk mencatat kemenangan.

“Semua pemain utama berada dalam tahap kecergasan baik and mereka juga tampak begitu konsisten menjalani latihan untuk perlawanan ini,” kata Mora.

Empat perlawanan dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu.

Dalam kumpulan A, TFC akan melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Negeri Sembilan belum lagi menekan butang panik selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu menentang PKNS FC and Kedah.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Zaki Shaikh Ahmad berkata pasukannya ingin bangkit memburu kemenangan pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu.

“Kesemua pemain begitu bersemangat untuk membuktikan kebolehan mereka dalam perlawanan ini. Mereka yakin dapat menewaskan TFC untuk membuka peluang untuk mara ke suku akhir.

“Namun, kami perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan prestasi kerana TFC merupakan pasukan yang mantap.

“Kami bersedia untuk memberi persembahan terbaik selepas berjaya mengatasi segala kelemahan semasa latihan,” kata Zaki.

Pasukan tuan rumah telah memenangi tiga dan seri dua perlawanan terakhir di laman sendiri, dan akan mengharapkan sentuhan penyerang Tchetche Kipre yang telah meledak dua gol dalam perlawanan PM2.

Kipre juga telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhirnya melawan Negeri Sembilan.

Dalam Kumpulan C, juara Liga Premier musim ini Sabah akan bertemu naib juara Liga Super, Pahang di Stadium Likas.

Selepas dua perlawanan, pasukan Tok Gajah mengungguli kumpulan dengan enam mata, diikuti Perak dan Pulau Pinang, masing-masing mengutip tiga mata manakala Sabah gagal mengutip sebarang mata.

Sabah dan Pahang bertemu dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia pada musim kedua berturut-turut. Dalam pertemuan terakhir mereka di Stadium Likas, Pahang raih kemenangan 4-0.

Pasukan bimbingan Jelius Ating semestinya ingin meneruskan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah di laman sendiri termasuk lima kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Premier.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, “Kami perlu mengekalkan prestasi untuk melakar kemenangan ke atas Sabah biarpun tahu bakal berdepan saingan sengit.

“Sabah sudah pasti ingin bangkit untuk meraih mata dalam Piala Malaysia.

“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50 tetapi dengan komitmen dan pencapaian semasa, kami akan pastikan kemenangan berpihak kepada kami.

“Persefahaman and fokus sepanjang 90 minit sangat penting dalam memastikan kami dapat mengutip tiga mata,” kata Dollah.

Pulau Pinang akan bertandang ke Ipoh untuk bertemu juara bertahan, Perak dalam perlawanan Kumpulan C.

Ini merupakan perlawanan penting buat kedua-dua pasukan yang ingin memburu kemenangan kedua mereka dalam Piala Malaysia.

Perak ingin bangkit selepas tewas 0-3 di Kuantan pada 8 Ogos lalu manakala Pulau Pinang ingin meneruskan momentum selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sabah di laman sendiri pada 7 Ogos lalu.

Dalam Kumpulan D, Felda United FC akan melayan kunjungan Melaka di Jengka.

Melaka berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata manakala Felda di kedudukan keempat selepas mengutip hanya satu mata daripada dua perlawanan.

Ketua jurulatih Felda, Nidzam Jamil berkata pasukannya perlu menewaskan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan bagi mencari kedudukan selesa dalam kumpulan.

“Kami tidak boleh hilang tiga mata apatah lagi  beraksi di tempat sendiri dan peluang masih lagi terbuka untuk semua pasukan untuk mencari tempat di saingan suku akhir.

“Kami perlu mencari jalan untuk mengecewakan Melaka kerana dua pertemuan dalam Liga Super, kami tewas dan seri sekali.
“Pasukan saya tidak berdepan dengan kecederaan atau penggantungan pemain,” kata Nidzam.

Pengendali Melaka, Zainal berkata pasukannya sudah bersedia mempamerkan mutu permainan berkualiti di padang sintetik Stadium Tun Abdul Razak.

“Kami menjalani latihan di padang sintetik di Alor Gajah selama beberapa hari dalam usaha menyesuaikan diri untuk perlawanan ini.

“Kesemua pemain utama berada pada tahap kecergasan terbaik dan mereka bersemangat untuk menrekodkan kemenangan,” kata Zainal.

Dua perlawanan akan berlansung pada hari Ahad.

PJ City FC akan bertemu UiTM FC dalam misi memburu kemenangan kedua mereka dalam Kumpulan B.

Ujar ketua jurulatih pasukan tuan rumah, K. Devan: “PJ City bersedia untuk memburu tiga mata menentang UiTM FC. Saya telah memberitahu pemain jangan mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

“Jaringan gol awal amat penting untuk menewaskan UiTM. Walaupun, pasukan Ismail Zakaria setakat ini gagal mengutip mata, mereka berjaya mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan menentang JDT dan PKNP FC.

“Kami perlu berwaspada kerana barisan serangan mereka yang diketuai oleh Zarko Korac begitu mantap dan pandai membuka ruang menjaringkan gol,” kata Devan.

Korac telah menjaringkan 14 gol dalam semua pertandingan musim ini untuk UiTM FC.

Dalam Kumpulan D, Selangor akan melayan kunjungan PDRM di Stadium Shah Alam.

Selangor mendahului kumpulan dengan empat mata manakala PDRM di tempat ketiga dengan tiga mata.

Skuad Gergasi Merah mempunyai rekod yang baik di Stadium Shah Alam dengan hanya satu kekalahan dalam sepuluh perlawanan terakhir di sana dengan enam kemenangan dan tiga seri.

Pengendali PDRM, E. Elavarasan berkata kesemua pemain bersemangat mencatatkan kemenangan kedua kumpulan selepas menewaskan Felda 4-3 minggu lalu.

“Saya mengharapkan motivasi berkenaan mampu memberi tonik kepada pemain untuk menafikan kelebihan Selangor.

“Selangor merupakan pasukan pilihan tetapi kita tidak akan menyerah kalah. Usaha akan dipertingkatkan untuk menyekat momentum tinggi tuan rumah.

“Kesemua pemain perlu menjalankan tugas dengan baik. Segala kekuatan Selangor akan dapat diatasi jika kita bermain sebagai  satu pasukan,” kata Elavarasan.

Perlawanan Kumpulan A, Terengganu FC lwn Negeri Sembilan dan Selangor lwn PDRM (Kumpulan D) akan disiarkan secara langsung di TV1 dan RTM HD Sports, manakala semua perlawanan Pusingan PM3 akan disiarkan di iflix.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan