TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi (kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL, Marzuki Sulong (kanan), mencabut undi dalam majlis undian Shopee Piala FA 2019, di Mercu Mustapha Kamal, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KUALA LUMPUR 4 April - Laluan mudah menanti 10 pasukan Liga Super untuk ke peringkat suku akhir Piala FA 2019 selepas melihat hasil undian pusingan ketiga yang berlangsung di sini hari ini.
Juara bertahan, Pahang yang bakal bertemu UKM FC di tempat lawan nanti mungkin berdepan cabaran sengit daripada pasukan Liga Perdana itu namun jika di atas kertas kelebihan lebih memihak kepada pasukan kendalian Dollah Salleh.
Selain Pahang, juara Piala Malaysia musim lalu Perak juga mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk layak apabila dijadualkan bertemu pasukan M4, Jerantut FA manakala Terengganu FC menentang pasukan M3, Kelantan United.
Dalam pada itu, Kedah berdepan Petaling Jaya City, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang PKNS FC menyaksikan pasukan dari Liga Super bertemu sesama sendiri namun kelebihan pastinya terarah kepada Lang Merah dan skuad Harimau Selatan yang bakal beraksi di laman sendiri.
Sementara itu, PKNP FC terpaksa menunggu lawannya diantara PDRM ataupun Sarawak selepas perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu terpaksa ditangguh ekoran cuaca buruk manakala Pulau Pinang akan melayan kunjungan Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan