Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan peta hala tuju atau F:30 sudah mencapai lebih 80 peratus sasaran yang telah ditetapkan bagi fasa pertama 2019-2022.
Jelasnya, 100 peratus kejayaan belum dicapai oleh badan induk bola sepak negara bagi fasa pertama selepas pelan berkenaan baru sahaja dilancarkan selama tiga bulan.
“Kita jangan hanya ukur F:30 berdasarkan satu keputusan sahaja. Kejayaan F:30 tidak boleh diukur selepas  skuad Datuk Ong Kim Swee tidak melepasi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 2020.
“Jangan kata F:30 gagal sebaliknya masih terlalu awal untuk mengkritik hanya berdasarkan satu keputusan sahaja.
“Memang kita tidak mencapai 100 peratus sasaran untuk fasa pertama tetapi saya boleh katakan FAM telah mencapai lebih 80 peratus misi yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Objektof F:30 daripada FAM mula diremehkan selepas impian skuad B-22 negara ke final di Bangkok tahun depan berkecai apabila Malaysia gagal melepasi aksi kelayakan Kumpulan J kempen Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 2020.
Kegagalan itu juga menafikan peluang tunggal Malaysia untuk layak ke Olimpik 2020 di Tokyo.
Sebagai rekod, F:30 telah dilancarkan secara bersama oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada 31 Oktober 2018.
F:30 dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik iaitu Pelan Strategik 1 (2019-2022) untuk membentuk teras asas, Pelan Strategik 2 (2023-2026) untuk mula menguasai Asia dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) untuk menguasai peringkat dunia. - K! ONLINE