KUALA LUMPUR - Sebarang tindakan ke atas ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Bojan Hodak akan diketahui minggu hadapan selepas beliau menghantar surat tunjuk sebab kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengendali kelahiran Croatia tersebut diberikan masa untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada badan induk bola sepak negara sehingga Jumaat sebelum tindakan susulan diambil selepas beliau mengkritik sistem bola sepak negara.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kes Hodak dianggap sebagai isu dalaman staf sahaja setakat ini dan tidak melibatkan statusnya sebagai jurulatih B-19.
“Ia hanya isu dalaman dan kami meminta penjelasan darinya mengapa dia perlu memberikan komen sedemikian rupa.
“Perkara tersebut tidak melibatkan statusnya sebagai jurulatih pasukan kerana aspek berkenaan hanya akan diteliti dan diputuskan dalam Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
“Apa pun Bojan mempunyai masa sehingga hujung minggu ini untuk memberikan penjelasan kepada seketariat dan perkara tersebut FAM akan kendalikannya secara dalaman.
“Selepas mendapat penjelasannya, kami akan membawa ke dalam satu mesyuarat dan keputusan (mengenai tindakan) dan akan diputus,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Bojan sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyalahkan sistem bola sepak negara sebagai punca kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun pertengahan bulan ini.
Beliau menyifatkan kelewatan pemain negara mula berlatih secara serius, selain kekurangan pendedahan perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa menjejaskan kualiti pasukannya sehingga gagal mara ke peringkat suku akhir.
Ekoran daripada kenyataan tersebut, Hodak diarah mengemukakan surat tunjuk sebab oleh FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan