BOJAN HODAK
KUALA LUMPUR 3 April - Tindakan jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak mengkririk sistem pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia yang disifatkan sebagai lemah membawa padah apabila dia diminta memberikan surat tunjuk sebab di atas kritikan pedasnya itu
Bojan bertindak demikian selepas skuad bimbingannya beraksi buruk dalam saingan peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Sanix di Jepun, bulan lalu.
Ekoran insiden tersebut, FAM yang kecewa dengan tindakan terburu-buru Hodak, memberi tempoh sehingga Jumaat ini kepada jurulatih berkenaan untuk membalas surat tunjuk sebab kepada badan induk bola sepak negara itu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, buat masa ini pihaknya menganggap kes jurulatih Hodak sebagai satu isu dalaman kakitangan.
“Kami hanya meminta dia menjawab surat tunjuk sebab, dan ia tidak ada kena mengena dengan isu kontrak atau prestasi pasukan. Dia perlu menjawab kenapa atau bila komen-komen itu dibuat dan selepas itu, ia akan dibincangkan secara dalaman.
“Selepas mendapat penjelasannya, kami akan membawa ke dalam satu mesyuarat dan keputusan (mengenai tindakan) akan diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Taklimat Media Laporan Pertama Peta Hala Tuju F:30 di sini, hari ini.
Ditanya kemungkinan Hodak akan digantung jawatan seperti mana yang pernah menimpa tiga bekas jurulatih skuad kebangsaan iaitu B. Sathianathan, Datuk K.Rajagobal dan Dollah Salleh sebelum ini ekoran mengkritik bola sepak negara, Stuart memberitahu, FAM perlu melihat terlebih dahulu bentuk penjelasan yang dibuat Hodak.
“Sebelum ini, saya masih belum bertugas di FAM ketika jurulatih-jurulatih itu dikenakan hukuman setelah melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.
“Buat masa sekarang, saya tidak boleh putuskan apa-apa keputusan terhadap Hodak. Tunggu surat tunjuk sebab daripadanya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan