STUART RAMALINGAM ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.- FOTO UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 3 APRIL - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berada di landasan tepat dalam melaksanakan pelan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 yang dinamakan F:30 bagi tempoh tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 apabila telah mencapai lebih 80 peratus.
Perkara itu dijelaskan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada sesi taklimat media membentangkan secara terperinci perkembangan semasa F:30 dan mendedahkan peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan yang telah dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1 dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).
“Secara keseluruhan, peratusan tiga teras utama F:30 untuk Pelan Strategik 1 bagi tempoh tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 adalah Tadbir Urus (kakitangan & polisi) sudah mencecah 23 peratus.
“Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) sudah mencecah 24 peratus manakala pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) sudah mencecah 30 peratus,” katanya ketika sesi taklimat di sini hari ini.
Tambahnya lagi, bagi merealisasikan Pelan Strategik 1, sebanyak 49 sasaran strategik dengan sejumlah 118 perkara tindakan telah terkandung dalam F:30.
Pecahan dan peratusannya mengikut tiga teras asas sepanjang tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 adalah seperti berikut.
“Tadbir Urus (kakitangan & polisi) membabitkan 13 sasaran strategik dengan 24 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 100 peratus.
“Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) membabitkan 34 sasaran strategik dengan 71 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 63 peratus.
“Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) membabitkan 2 sasaran strategik dengan 23 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 57 peratus.
Berdasarkan laporan pertama yang dibentangkan itu, peratusan perkembangan setiap teras utama yang dicatat memperlihatkan bahawa F:30 masih berada dalam landasan terbaik untuk ia dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Namun, F:30 adalah agenda bola sepak nasional yang memerlukan kerjasama baik daripada semua pihak dan bukan FAM sahaja yang boleh menjayakannya dalam memastikan perkembangan bola sepak Malaysia mencapai ke tahap yang diingini semua.
Hala tuju ini adalah permulaan terbaik bagi FAM kepada seluruh pemegang taruh bola sepak negara termasuk para penyokong untuk semua mereka dapat memahami arah tuju bola sepak Malaysia dengan lebih jelas.
Badan induk bola sepak negara itu, akan terus memberikan laporan kedua, ketiga dan seterusnya dari semasa ke semasa bagi memastikan semua di luar sana dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30 ini.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan