Pengendali kelahiran Croatia tersebut diberikan masa untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada badan induk bola sepak negara ini sehingga esok sebelum tindakan susulan diambil selepas beliau mengkritik sistem bola sepak negara.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, kes Hodak dianggap sebagai isu dalaman staf sahaja dan tidak melibatkan statusnya sebagai jurulatih B-19 kebangsaan.
“Ia hanya isu dalaman dan kami meminta penjelasan daripadanya mengapa perlu memberikan komen sedemikian rupa.
“Perkara tersebut tidak melibatkan statusnya sebagai jurulatih pasukan kerana aspek berkenaan hanya akan diteliti dan diputuskan dalam Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
“Apa pun, Hodak mempunyai masa sehingga hujung minggu ini untuk memberikan penjelasan kepada sekretariat dan perkara tersebut FAM akan kendalikan secara dalaman.
“Selepas mendapat penjelasannya, kami akan membawa ke dalam satu mesyuarat dan keputusan (mengenai tindakan) akan diputuskan nanti,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Hodak sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan sistem bola sepak negara sebagai punca kegagalan pasukan bimbingannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun pada pertengahan bulan ini.
Beliau menyifatkan kelewatan pemain negara untuk berlatih secara serius, selain kekurangan pendedahan perlawanan kompetitif pada peringkat antarabangsa menjejaskan kualiti skuad B-19 negara sehingga gagal mara ke peringkat suku akhir.
Ekoran kenya­taan tersebut, Hodak diarah mengemukakan surat tunjuk sebab oleh FAM.