BUKIT JALIL: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya kekal tenang mengawal emosi sepanjang saingan Piala Airmarine yang akan membuka tirainya esok.
Skuad negara ketika ini perlu memastikan kemenangan ketika misi memperbaiki ranking dunia untuk menduduki tempat ke 34 di Asia bagi mengelak terpaksa beraksi di playoff untuk kelayakan Piala Dunia 2022.
Selain itu, Cheng Hoe juga mahu pemainnya menjadikan saingan Piala Suzuki AFF sebagai pengajaran terbaik dalam usaha memantapkan pasukan.
“Saya dan juga pemain perlu bersedia serta harus memiliki pemikiran yang positif. Kita tahu cabaran kali ini cukup hebat, iaitu untuk memperbaiki ranking dan juga cuba menjuarai Piala Airmarine.
“Kita tidak boleh terlalu emosi dalam perlawanan dan pemain perlu elak daripada menerima layangan kad kerana ia boleh menganggu kelancaran pasukan.
“Kita bermain dengan baik di Piala Suzuki AFF namun dalam bola sepak kesilapan boleh berlaku hingga menyebabkan gawang kita dibolosi. Jadi saya harap pemain dapat belajar sesuatu daripadanya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.
Sebagai permulaan, skuad kebangsaan dijadualkan menentang negara jiran, Singapura, esok dan ia pastinya diibaratkan sebagai final untuk memintas lawan berkenaan yang kini menghuni ranking ke-34 Asia.
Dalam latihan semalam, penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha tidak dapat menyertai rakan sepasukan kerana demam namun situasi itu tidak menggusarkan Cheng Hoe kerana yakin pemain itu sempat pulih sebelum sepak mula esok.
“Latihan hari ini (semalam) tanpa Mat Yo (Norshahrul) kerana dia demam. Namun jika dapat rehat yang cukup, Mat Yo akan bersedia untuk bermain perlawanan menentang Singapura.
“Kita memerlukan khidmatnya kerana kita tahu pengalaman dia di pentas antarabangsa. Bagi saya pengalaman yang dimilikinya boleh membantu pasukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan