KETUA jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya berpotensi untuk memberi kejutan ketika bertemu China pada perlawanan akhir Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, esok.
Katanya adalah tidak mustahil bagi Malaysia yang mengintai peluang layak secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan untuk mencipta kemenangan menerusi strategi permainan yang baik.
Menurutnya China yang dikendalikan bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea, Guus Hiddink, menampilkan keazaman tinggi dalam dua perlawanan sebelum ini.
Ia dibuktikan menerusi pesta gol mereka termasuk lapan gol yang diledakkan dalam pertemuan dengan Filipina, semalam.
“Sudah tentu kita perlukan strategi ampuh, China sebuah pasukan yang hebat dan mereka mencatat 13 gol keseluruhan. Itu menunjukkan betapa bagusnya mereka. Perlawanan esok tidak mudah tetapi bukan mustahil.
“Seperti saya katakan sebelum ini, mereka pasukan yang hebat sementara kita cuma sederhana namun kadangkala pasukan sederhana juga boleh mencipta kejutan.
“Apa yang penting kita turun menentang China dengan satu objektif iaitu kita perlu menang untuk layak secara automatik,” katanya selepas kemenangan 1-0 ke atas Laos.
Kemenangan kedua selepas menundukkan Filipina 3-0 pada Jumaat lalu menyaksikan anak buah Kim Swee mengutip enam mata untuk berada di tempat kedua di belakang China dengan perbezaan sembilan gol.
Kemenangan ke atas China menjamin tempat Malaysia pada pusingan akhir AFC B-23 2020, namun jika ruang ini gagal dimanfaatkan, peluang Malaysia untuk mara adalah tipis.
Sementara itu, penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli menggesa rakan sepasukannya memberikan fokus 100 peratus serta mengekalkan disiplin ketika berdepan China.
“Mungkin di atas kertas nama China lebih besar berbanding Malaysia tetapi apa-apa keputusan hanya akan ditentukan esok. Kita sebagai satu pasukan perlu bagi kerjasama dan perlu lebih berdisiplin. Kita akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan