NASIB ternyata menyebelahi skuad Harimau Malaya selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan, sekali gus meraih tempat ketiga saingan Piala Airmarine 2019 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui, kemenangan yang diraih itu telah menaikkan moral anak-anak buahnya selepas dikritik hebat ketika tewas 0-1 pada aksi pembukaan menentang pasukan jiran, Singapura, Rabu lalu.
“Saya anggap ini adalah kemenangan penting buat kami selepas kecewa pada pertemuan dengan Singapura sebelum ini. Saya lihat perbezaan ketara kali ini adalah pemain mempamerkan aksi lebih bersemangat dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.
“Selepas ketinggalan, mereka berusaha untuk bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama. Pada babak kedua, kita terus menyerang dengan melakukan asakan bertali arus dan nasib memihak kepada kita dengan gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain lawan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi pemain termasuk beberapa muka baharu dalam pasukan ini seperti Faiz (Nasir) dan Abdul Halim (Saari). Mereka telah mempamerkan aksi yang baik dalam membantu pasukan mendominasi perlawanan kali ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Pada perlawanan tersebut, Afghanistan yang menduduki ranking ke-147 dunia terlebih dahulu mendapat gol pertama hasil jaringan Faysal Sayesteh pada minit ke-32 sebelum kedudukan menjadi 1-1 selepas Faiz meledak gol penyamaan berselang 12 minit kemudian.
Skuad negara beberapa memiliki peluang untuk menggandakan jaringan tetapi trio serangan negara, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Hadin Azman gagal menyempurnakan peluang keemasan tersebut dengan baik.
Ketika saingan dilihat berakhir dengan keputusan seri, benteng kebal Afghanistan akhirnya berjaya dibolosi selepas pemain pertahanan, Abbasin Ali tertampan masuk bola hantaran Matthew Davies pada minit ke-82.
Sementara itu, ketua jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir mengakui terkilan kerana pasukannya boleh meraih keputusan lebih baik sekiranya keputusan pengadil memihak kepada mereka.
“Saya agak terkilan kerana barisan pemain telah berusaha sebaik mungkin, cuma nasib tidak menyebelahi pasukan kami. Malah, keputusan pengadil juga boleh dipertikai kerana kami sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan