PENYERANG Malaysia, Muhammad Akhyar Rashid berswafoto bersama penyokong selepas tamat perlawanan Malaysia menentang Filipina pada Pusingan Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, kelmarin. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR 23 Mac - PEMAIN ke-12, itulah peranan yang dimainkan Ultras Malaya setiap kali skuad bola sepak kebangsaan beraksi di laman sendiri dalam sebarang kejohanan dan yang terbaharu, aura kumpulan penyokong tegar itu begitu terkesan sewaktu memberikan sokongan padu kepada skuad Bawah 23 (B-23) negara yang beraksi di Stadium Shah Alam, semalam.
Skuad muda negara yang diterajui ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mencipta kemenangan sulung setelah membenam Filipina 3-0 dalam aksi pertama Kelayakan Kejuaraan AFC B-23.
Sorakan gemuruh yang diberikan Ultras Malaya seawal wisel permainan ditiupkan hingga minit terakhir permainan ternyata menyuntik semangat anak-anak buah Kim Swee yang mempamerkan persembahan baik dengan beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan.
Semestinya sokongan daripada penyokong amat ditagih untuk menghadapi baki dua perlawanan Kumpulan J dan Kim Swee sendiri begitu menghargai sokongan yang diberikan peminat terutamanya Ultras Malaya sambil mengharapkan usaha mereka dapat diteruskan bagi menghadapi Laos dan China di venue sama, esok dan Selasa ini.
“Sokongan daripada penyokong cukup penting, dengan kehadiran mereka termasuk Ultras Malaya membuktikan kita masih mempunyai peminat yang menyokong kita. Saya berharap peminat dapat hadir lagi dalam dua perlawanan akan datang. Kami amat memerlukan sokongan mereka untuk memberi motivasi kepada pemain,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, semalam.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Laos di venue yang sama, esok, jurulatih dari Melaka itu berkata, tiga mata tetap menjadi keutamaan disusuli dengan kemenangan jaringan besar bagi memudahkan misi untuk layak ke pusingan akhir kejohanan di Bangkok, tahun depan.
Sementara itu, Mingguan Malaysia yang cuba mendapatkan maklum balas wakil Ultras Malaya, diberi jaminan oleh salah seorang pengikut tegar kumpulan penyokong itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lekir, bahawa mereka akan hadir menggegar stadium untuk dua perlawanan skuad negara.
“Kita orang memang datang kalau perlawanan rasmi dan bukan sarkas,” kata Lekir ringkas dalam kiriman mesejnya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan