
TIADA istilah pemain kesayangan atau ‘paling untung’ dalam skuad kebangsaan dengan rata-rata mempunyai peluang seimbang untuk membarisi kesebelasan utama negara bagi mengharungi Piala AirMarine 2019.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mungkin menyenaraikan muka baharu dalam kesebelasan utama, sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau terlalu bergantung kepada pemain tertentu saja.
Beliau berkata, pemain yang sebelum ini tersenarai dalam kesebelasan utama tidak boleh terlalu selesa dan perlu berusaha lebih gigih bagi merebut tempat.
“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata dan tiada istilah pemain kesayangan atau sudah ada tempat dalam kesebelasan utama kerana pemilihan belum dilakukan lagi.
“Jangan ingat sebelum ini anda berada dalam kesebelasan utama, anda mempunyai kelebihan,” katanya.
Skuad negara sedang menjalani sesi latihan sebagai persediaan mengharungi Piala AirMarine 2019 yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini.
Cheng Hoe berkata, setakat ini hanya Nicholas Swirad saja yang mengalami kecederaan dan berharap pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu sempat pulih dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, Swirad masih lagi belum berlatih bersama pemain lain.
“Kita akan melihat keadaan Swirad untuk tempoh empat atau lima hari lagi dan mungkin dia sempat pulih sebelum tarikh perlawanan berlangsung nanti,” katanya.
Mengikut rekod, seramai 25 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan manakala enam pemain, Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Md Fauzi digugurkan.
Muka baharu yang ditampilkan ialah Faiz Nasir, Firdaus Saiyad, Hafiz Ramdan, Swirad dan Abdul Halim Shaari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan