Kaunter Tiket Piala AIRMARINE 2019 Sudah Dibuka Hari Ini
Para penyokong sudah boleh membeli tiket di Kaunter Tiket Pintu C, Stadium Nasional, Bukit Jalil (berhadapan Pusat Akuatik Nasional) bermula hari ini, dari 11.00 pagi hingga 6.00 petang.
Kaunter tiket yang sama di Pintu C itu turut akan dibuka esok (Selasa, 19 Mac 2019) dari 11.00 pagi hingga 6.00 petang.
Bagi hari perlawanan pula iaitu Rabu, 20 Mac 2019, kaunter tiket akan dibuka di Pintu A, C dan E dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Tiket berharga RM45 bagi tempat duduk bernombor Grandstand, RM35 bagi tempat duduk Terbuka dan RM25 bagi pelajar berumur 7 hingga 18 tahun adalah untuk menyaksikan dua perlawanan pada hari yang sama.
Hari pertama kejohanan pada Rabu, 20 Mac 2019 akan menyaksikan Oman bertemu Afghanistan pada 4.30 petang dan skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menentang Singapura pada 8.45 malam.
Sementara hari kedua kejohanan pada Sabtu, 23 Mac 2019 akan menyaksikan perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat pada 4.30 petang dan perlawanan akhir pada 8.45 malam. Tiket bagi perlawanan pada Sabtu ini juga sudah boleh dibeli di kaunter bermula hari ini.
Bagi penyokong yang tidak berkesempatan untuk ke kaunter tiket di Stadium Nasional, mereka juga boleh membeli tiket secara online di www.proticket.com.my dengan dua pilihan, sama ada mahu menebus tiket fizikal di kaunter stadium pada hari perlawanan atau pun menggunakan Kod QR yang diberi selepas pembelian untuk kemasukan terus ke dalam stadium.
Untuk makluman, semua kemasukan ke stadium bagi perlawanan Piala AIRMARINE 2019 ini adalah menggunakan Kod QR yang terdapat pada tiket fizikal yang dibeli di kaunter atau pun pembelian menerusi online.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan