
Sheikh Salman kekal menerajui badan bola sepak Asia selama empat tahun lagi. - Foto fail AFP
HONG KONG: Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa kekal menerajui badan bola sepak Asia selama empat tahun lagi selepas pencabarnya untuk kerusi presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menarik diri daripada pencalonan hari ini.
Pencabar dari Qatar, Saoud Al Mohannadi mengambil keputusan menarik diri daripada merebut jawatan itu sebaliknya menyatakan sokongan ke atas kepimpinan Sheikh Salman dari Bahrain itu.
Minggu lalu, seorang lagi pencabar, Mohammad Khalfan Al Romaithi juga menarik diri daripada merebut jawatan itu.
Dengan keputusan itu, Sheikh Salman, yang mendakwa mendapat sokongan 40 daripada 47 anggota gabungan AFC, tidak akan dicabar pada Kongres AFC yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu depan.
"Saya secara peribadi dan Persatuan Bolasepak Qatar, akan terus menyokong Sheikh Salman sebagai Presiden AFC,” kata Al Mohannadi menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman web rasmi Persatuan Bolasepak Qatar.
"Kami yakin sepenuhnya beliau akan membawa bola sepak Asia sebagai satu unit dalam semua perkara pada masa depan.”
Pengunduran Al Mohannadi itu sudah dijangka susulan pengumuman sama dilakukan oleh Al Romaithi Khamis lalu.
Sheikh Salman akan kekal menerajui AFC hingga 2023 sejak menyandang jawatan pada 2013 menggantikan Mohammed bin Hammam yang diharamkan pembabitan dalam bola sepak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). – Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan