KUALA LUMPUR - Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan bukan cara beliau untuk meletakkan jawatan atau menyalahkan mana-mana pihak sekiranya gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Jelasnya, beliau tidak akan menjadikan individu lain sebagai mangsa terutamanya memecat barisan kejurulatihan jika tidak mencapai sasaran yang terdekat untuk ke Piala Asia.
Hamidin memberitahu, meletakkan sasaran tinggi yang dianggap mustahil mampu menjadikan skuad negara lebih berusaha mencapai cita-cita terbabit sekali gus membuktikan FAM mempunyai perancangan dalam meningkatkan kualiti bola sepak negara.
“Selepas dilantik sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara(AFF) saya juga ditawarkan sebagai Timbalan Presiden AFC namun lebih memilih untuk menjawat sebagai jawatan exco sahaja kerana tidak mahu dikatakan gila kuasa dan jawatan itu digalas demi pembangunan bola sepak negara.
“Saya tahu bila akan undur diri jika tidak mencapai sasaran itu dan ahli gabungan boleh buat keputusan jika tidak perlukan saya. Tiada masalah saya boleh undur.
“Tetapi saya mahu matlamat dan misi FAM jelas iaitu layak ke Piala Asia untuk tempoh yang terdekat bukannya mustahil cuma apa boleh katakan adalah perlu berusaha keras.
“Saya sudah katakan perkara itu kepada jurulatih kebangsaan dan mereka memahaminya kerana penyokong mahukan sesuatu yang menyakinkan. Sebab itu saya letak matlamat yang tinggi untuk pasukan negara mencapainya,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya sebentar tadi.
Dalam perkembangan berlainan, Hamidin memberitahu Telekom Malaysia (TM) masih menjadi penaja rasmi FAM biarpun kontraknya bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah tamat.
“TM masih lagi menjadi penaja rasmi buat FAM sehingga penghujung 2020 biarpun kontraknya bersama MFL telah tamat,” katanya. - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan