KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan badan induk bola sepak negara bakal kemukakan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada kerajaan berkenaan pengambilan pemain naturalisasi pada mensyuarat exco pada 30 Mac depan.
Perkara tersebut telah diperincikan bersama ahli gabungan dan kini akan dibentangkan kepada pihak kerajaan terhadap perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang FAM.
Hamidin memberitahu, pembentangan berkenaan akan melibatkan pihak kerajaan ekoran semua pemain perlukan kelulusan passport jika terpilih.
“Kita akan bawa cadangan SOP terhadap pemain naturalisasi ini untuk dibentangkan dalam mesyuarat exco pada 30 Mac bersama pihak kerajaan seperti Jabatan Imigresen.
“Isu ini perlu melibatkan kerajaan kerana mereka yang bakal memberikan kelulusan terhadap mana-mana pemain yang akan mendapat taraf naturalisasi,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Hamidin menjelaskan SOP tersebut melibatkan jangka masa pendek, sederhana dan panjang ekoran tidak mahu terlalu bergantung dengan pemain naturalisasi.
“Bukan untuk kejayaan segera tetapi kita memang perlukan pemain naturalisasi. Kita juga mungkin tidak mahukan begitu ramai sehingga 20 atau 30 pemain.
“Apabila sampai masanya, kita akan berhenti (guna pemain naturalisasi), sebab itulah kita ada pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Kita tidak mahu gagal seperti beberapa negara yang pernah mengambil pendekatan sama dan kita mengadakan kajian mendalam berhubung perkara ini,” katanya. - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan