Pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee memuji prestasi anak buahnya yang berjaya mengikat Australia B-23, 1-1 dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.
Australia mendahului perlawanan menerusi tandukan Wilson selepas menyempurnakan hantaran Reno Piscopo daripada sepakan sudut.
Namun, skuad negara tidak mudah putus asa dan bangkit menyamakan kedudukan di minit akhir perlawanan menerusi Nik Azli Nik Alias yang bijak mencari ruang sebelum merembat masuk gol ke gawang lawan.
Meskipun perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri, Kim Swee menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dalam meningkatkan persefahaman di antara pemain.
“Ini satu keputusan yang baik sebelum kami memulakan kempen kelayakan Kumpulan J, Kejohanan AFC B-23.
“Tetapi daripada segi prestasi pasukan, masih banyak kekurangan. Kami tidak dapat keluar daripada situasi sukar dan ini menyukarkan kami untuk bermain seperti biasa,” katanya dalam Stadium Astro.
Kim Swee turut mempertahankan aksi hambar beberapa tonggak utama dalam perlawanan itu dan menjelaskan pemain itu masih dalam proses untuk membentuk keserasian dengan muka baharu.
“Ini kerana mereka baru menyertai skuad B-23 buat kali pertama.
“Mereka memerlukan persefahaman dan kombinasi tertentu.
Ini merupakan persiapan terakhir skuad B-23 negara sebelum menghadapi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 berdepan Filipina di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
“Saya yakin selepas dua perlawanan awal kelayakan Kejohanan AFC B-23 bertemu Filipina dan Laos, gandingan pemain akan menjadi lebih baik sebelum kami menghadapi China.” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan