Situasi itu nyata memberi kesan kepada pasukan negara yang bakal turun menentang Singapura, malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan pembukaan kejohanan sulung tersebut.
Kekecewaan itu disuarakan kapten Malaysia, Zaquan Adha Abd. Radzak yang mengakui stadium kosong sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada moral pemain.
“Sudah tentu kami kecewa kerana pasukan sangat perlukan sokongan dalam setiap perlawanan.
“Tetapi saya harap mana-mana penyokong yang hadir esok akan berikan sokongan padu kepada kami dan saya akui setiap penyokong mempunyai pandangan berbeza.
“Kami bermain demi negara dan akan sentiasa beri yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra perlawanan menentang Singapura, di sini hari ini.
Ultras Malaya dalam Facebook mereka semalam mengumumkan untuk memulaukan kejohanan tersebut kerana berpendapat skuad Harimau Malaya dieksploitasikan dalam kejohanan Piala Air Marine ciptaan pihak-pihak tertentu demi mengaut keuntungan. - UTUSAN ONLINE