"KALAU saya menipu, heretlah saya ke mahkamah".
Itu respon Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tampil mencabar Telekom Malaysia (TM) seandainya benar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 'berbohong' berhubung penamatan kontrak penajaan TM yang dibuat pada Jumaat lalu.
Tunku Ismail yang juga Pengerusi MFL berkata, beliau kecewa apabila sukan mula dicampur adukkan dengan politik yang akhirnya akan merugikan agenda bola sepak.
"Jika rasa saya berbohong, maka mudah bawa saja pengerusi (MFL) ke pengadilan. Inilah yang terjadi apabila mencampur adukkan politik dengan sukan.
"Dulu tak ada masalah pun ketika mula capai perjanjian untuk lapan tahun. Apabila datang bos baru (di TM), habis semua bola sepak jadi mangsa," kata Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, hari ini.
MFL sebelum ini menamatkan ikatan penajaan TM yang ditandatangani untuk lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM480 juta.
Keputusan itu diambil ekoran kegagalan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu menjelaskan bayaran penajaan musim ini berjumlah RM60 juta bagi diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Bagaimanapun, TM tampil menafikan dakwaan MFL apabila mengesahkan kerjasama kedua-dua pihak sebenarnya sudah ditamatkan pada 1 November 2018 lalu.
Malah, TM turut mendakwa kegagalan kerjasama itu berpunca daripada pelanggaran kontrak membabitkan aspek komersial yang gagal dipatuhi oleh pihak MFL sendiri.
Bukan itu saja, organisasi terbesar negara itu menafikan kegagalan memberi bayaran hak penyiaran seperti yang didedahkan MFL turut tidak benar kerana sebenarnya tiada sebarang perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan