Malaysian Football League (MFL) mengesahkan akan menubuhkan badan pengadil bebas iaitu Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang menjelaskan pihaknya semakin hampir untuk merealisasikan pembentukan badan bebas itu meskipun berdepan kehilangan penaja rasmi Liga, Telekom Malaysia (TM).
Bercakap dalam Berita Harian, beliau turut menjelaskan calon pengurus besar PMOM akan tiba di Malaysia pada April dengan berkemungkinan besar akan memulakan tugasnya bermula Jun ini.
“Pengurus besar PMOM sudah dikenalpasti dan akan sampai pada awal April nanti untuk menjalani sesi temuduga bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ahli lembaga pengarah yang lain.
“Jika semua berjalan lancar, kita berharap dia boleh memulakan kerja pada 1 Jun nanti. Sudah pasti kita mahu terus laksanakan dengan cepat (PMOM) namun kita kena fikirkan berdasarkan bajet yang ada,” katanya.
Dalam masa sama, Kevin mengakui situasi sedang dialami badan pengendali itu sama sekali tidak merencatkan operasi mereka meskipun kini berdepan kekangan kewangan.
“Sudah tentu apabila bajet sedikit maka hanya sedikit mampu kita lakukan. Operasi tidak terjejas dengan apa yang sedang kita lakukan sekarang namun jika kekurangan kewangan, kita kena buat ikut bajet.
“MFL sendiri beroperasi di bawah beberapa juta bajet diperuntukan maka kekurangan pendapatan tidak menjejaskan kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kevin menjelaskan perlantikan Pengurus Besar PMOM bukan semata-mata memiliki latar belakang pengalaman atau sijil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Dengan merujuk badan swasta seperti yang diperkenalkan oleh Liga Perdana Inggeris iaitu Professional Game Match Officials Limited( PGMOL), Kevin percaya mereka boleh melihat kepada skop lebih luas dalam pelantikan Pengurus Besar PMOM.
“Mungkin saya boleh terangkan FIFA dan AFC ini diibarat sebagai kerajaan bola sepak tetapi sektor swasta juga banyak antaranya PGMOL yang dilihat sebagai badan swasta dalam pengurusan pengadil.
“Jadi ia tidak bermakna seseorang pengadil profesional itu seharusnya memiliki status instraktur FIFA atau AFC,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan