Pada perlawanan tersebut, Filipina tewas 0-3 kepada skuad negara hasil dua jaringan Muhammad Akhyar Rashid dan satu gol Faisal Abdul Halim.
Grierson menunjukkan isyarat jari tengah tersebut selepas tidak ber­puas hati dengan jaringan ketiga Malaysia menerusi Faisal Abdul Halim yang dikatakan tidak mengamalkan permainan fairplay selepas Filipina membuang bola ke luar padang bagi memberi laluan kepada seorang pemain mereka yang cedera mendapatkan rawatan.
Situasi tersebut digunakan pemain negara dengan tidak me­lakukan lontaran terhadap pemain Filipina, sebaliknya melancarkan serangan hingga Faisal berjaya melengkapkan kemenangan Malaysia pada minit ke-83 perlawanan.
Ketika Faisal berlari meraikan jaringan itu di hadapan penyokong Ultras Malaya, Grierson dilihat menunjukkan isyarat lucah tersebut sebagai tanda protes dan tindakannya berjaya dirakam oleh seorang jurugambar yang berada dalam stadium.
Jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak menyalahkan anak-anak buahnya di atas kejadian itu kerana merasakan situasi tersebut tidak memerlukan permainan fairplay memandangkan pemain Filipina tersebut bukan me­ngalami kecederaan serius.
“Kamu boleh lihat sendiri situasi tersebut bukanlah fairplay. Ketika pemain Filipina masih terduduk dan mendapatkan rawatan (di luar padang) sementara kita pula dalam situasi untuk mendapatkan gol, jika pemain kita tidak meneruskannya, bila kita boleh menambah jaringan?
“Saya tidak salahkan Faisal ke­rana ketika itu dua pemain Filipina terduduk sementara seorang lagi berada di luar padang. Jadi adakah kami perlu tunggu satu per satu pemain mereka menerima rawatan sedangkan ia bukan kecederaan besar dan hanyalah kekejangan.
“Ada beberapa situasi kita perlukan fairplay dan saya tidak berasa ia menjadi isu utama buat kita,” katanya. - K! ONLINE