Menurut Cheng Hoe, persiapan yang dilakukan skuad negara sejak menjalani sesi latihan minggu lalu berjalan dengan lancar dengan barisan pemain-pemain Harimau Malaya sudah tidak sabar lagi untuk turun berdepan Singapura.
“Tiada banyak perbezaan ketara yang dapat dilihat, tetapi saya cukup berpuas hati dengan komitmen barisan pemain sepanjang menjalani latihan bersama kami sejak minggu lepas.
“Pemain-pemain baharu yang kami panggil juga tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan pemain lain dan saya harap sesiapa sahaja yang diberi pe­luang untuk berada dalam kesebelasan utama esok (hari ini) dapat memberikan aksi seratus peratus.
“Tiada perkembangan terbaru mengenai kecederaan pemain memandang­kan penyerang Norshahrul Idlan Talaha sudah pulih daripada demam dan telah turun menjalani latihan rasmi bersama pasukan hari ini (semalam),” kata Cheng Hoe pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut mengakui aksi bertemu Singapura boleh dianggap sebagai medan mempertahankan maruah skuad Harimau Malaya yang sebelum ini dilihat sukar untuk menjinakkan negara jiran itu.
“Sejarah mengenai perseteruan bola sepak Malaysia dan Singapura tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia boleh dianggap sebagai salah satu pertembungan klasik yang sentiasa menjanjikan aksi dramatik daripada kedua-dua pasukan.
“Saya mengakui kedua-dua pasukan terdesak untuk memburu kemenangan dalam misi menaikkanranking masing-masing. Justeru, saya harap barisan pemain negara tidak memandang mudah dengan keupayaan pasukan lawan dan fokus sepenuhnya di atas padang,” katanya lagi.
Pemenang pada perlawanan tersebut akan membuat perhitungan dengan Afgha­nistan atau Oman dalam aksi final kejohanan empat penjuru itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu nanti.