JURULATIH Skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, (kanan) memberi arahan kepada anak buahnya ketika sesi latihan bagi menghadapi Piala Airmarine 2019.
KUALA LUMPUR 20 Mac- Tatkala pelbagai andaian dan dakwaan tentang penganjuran Piala Air Marine 2019 hangat diperkatakan dalam media sosial namun pemain-pemain Harimau Malaya seharusnya tidak dijadikan ‘mangsa’.
Oleh itu, masih belum terlambat untuk penyokong-penyokong tempatan membeli tiket dan turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan negara menentang Singapura dalam aksi pembukaan Piala Air Marine.
Sokongan padu peminat yang juga pemain ke-12 adalah sangat penting dalam menaikkan semangat dan motivasi pemain sepanjang 90 minit di atas padang.
Skuad Harimau Malaya pasti akan memberi aksi terbaik bagi memenuhi misi muncul juara, sekali gus memperbaiki ranking FIFA.
Semua sedia maklum, penganjuran kejohanan ini adalah bagi memperbaiki kedudukan ranking zon Asia yang memerlukan Malaysia berada dalam kelompok ke-34 untuk elak daripada bermain playoff kelayakan Piala Dunia 2022.
Ketika ini Malaysia menghuni di tangga ke-35 ranking Asia dan ke-167 FIFA.
Justeru, sorakan padu penyokong-penyokong bola sepak negara yang sebelum ini, memenuhi segenap tempat duduk Bukit Jalil ketika perlawanan Piala AFF 2018, ditagih semula oleh barisan pemain Harimau Malaya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan