KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) mengharapkan ‘penyokong ke-12’ akan terus beraksi dengan memberi sokongan kepada mereka untuk baki dua lagi aksi Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 selepas ini.
Situasi yang berbeza dapat disaksikan pada perlawanan membabitkan Malaysia bertemu Filipina di Stadium Shah Alam malam tadi apabila kehadiran penyokong dilihat jauh lebih baik berbanding aksi Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebagai perbandingan, seramai 7606 penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Shah Alam, lebih sekali ganda berbanding jumlah penonton pada aksi Piala Airmarine 2019 antara skuad Harimau Malaya bertemu Singapura, Rabu lalu.
Penurunan jumlah penonton bagi aksi skuad senior berkemungkinan besar susulan tindakan ‘boikot’ daripada kelompok penyokong tegar, Ultras Malaya yang tidak mahu pasukan kebangsaan dieksploitasi demi kepentingan peribadi pihak tertentu.
Bagaimanapun, Ultras Malaya ‘mengotakan’ janji mereka apabila memberi sokongan kepada pemain skuad B-23 negara dengan laungan semangat yang dilontarkan memeriahkan lagi suasana dalam stadium.
Pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee mengakui kehadiran penyokong sememangnya ditagih khususnya bagi memberi motivasi kepada pemain yang sedang berjuang untuk mencari tempat ke saingan AFC di Thailand, tahun hadapan.
“Kehadiran penyokong cukup penting dan kehadiran ramai penyokong malam ini membuktikan kita masih ada lagi penyokong.
“Jadi, saya mengharapkan sokongan yang berterusan bagi dua lagi aksi selepas ini iaitu bertemu Laos pada Ahad (esok) dan China pada Selasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan