Swee mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya.
Malaysia menewaskan Filipina 3-0 dalam aksi Kumpulan J di Stadium Shah Alam, semalam bagaimanapun skuad negara mampu menghasilkan jumlah jaringan yang lebih besar namun tiga peluang terbaik gagal diterjemahkan oleh Hadi Fayyadh Abdul Razak dan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut Kim Swee enggan menyalahkan penyerang Fagiano Okayama itu.
Hadi dikeluarkan pada minit ke-55 untuk digantikan dengan Nik Ali Alias.
“Kemenangan yang bagus. Kita memang perlukan kemenangan dan ini tiga mata yang penting tetapi sudah tentu saya berasa kecewa dengan peluang yang diciptakan tetapi tidak
diterjemahkan.
“Anda boleh lihat apabila banyak peluang dicipta tidak disudahkan dengan baik, saya ada tiga penyerang di bangku simpanan. Saya kena bagi peluang kepada yang lain, mungkin
hari ini (semalam) bukan milik Hadi.
“Dia bukan tidak bersedia cuma adakalanya pemain tidak berada di tahap terbaik dalam sesuatu perlawanan. Jika nak cakap Hadi tidak bagus, dia pemain utama pasukan di Piala
AFF dekat Kemboja. Harap semua pemain bangkit terutamanya di jentera serangan mereka perlu lebih efektif,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Shah Alam, semalam.
Akhyar Rashid menjaringkan dua gol masing-masing pada minit keempat dan minit ke-31 manakala satu lagi dijaringkan oleh Faisal Abdul Halim ketika permainan berbaki tujuh minit. - UTUSAN ONLINE