SYED SADDIQ berucap ketika majlis pelancaran LTdL dan pengumuman laluan LTdL 2019 di Wisma KBS, Putrajaya, hari ini.- FOTO UTUSAN/ZULFAIZ ZAKARIA
PUTRAJAYA 21 Mac – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui ketidakhadiran kumpulan penyokong setia Ultras Malaya cukup dirasai ketika Harimau Malaya kalah 0-1 kepada Singapura dalam saingan Piala Airmarine, semalam.
Beliau secara peribadi turut merindui semangat yang dibawa Ultras Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti mana ketika pasukan muncul naib juara Piala AFF tahun lalu malah disifatkannya sebagai masih tiada tandingan.
“Ketidakhadiran (Ultras Malaya) memang dirasi dan amat dirindui. Saya pun hadir di stadium semalam kerana bertanggungjawab memberikan sokongan kepada pasukan negara selepas terbaca laporan media (pemulauan kumpulan itu terhadap Piala Airmarine).
“(Sepatutnya) mereka ketepikan konflik itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya pada majlis prapelancaran dan pengumuman laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Beliau mengulas keengganan Ultras Malaya untuk hadir menyokong Harimau Malaya di stadium kerana menyifatkan skuad negara telah diekspoitasi oleh kapitalis (sebuah syarikat penganjuran) pada Piala Airmarine.
Mengenai kekalahan skuad Tan Cheng Hoe itu, Syed Saddiq berkata, daripada segi corak permainan, Malaysia mampu bermain lebih baik.
“Namun saya mengerti, pasukan ini terpaksa dipecahkan (melepaskan segelintir tonggak) sebab menghadapi kelayakan Kejohanan Bawah 23 (B-23) AFC di Shah Alam,” katanya.
Antara mereka yang turut menyerlah dalam Piala AFF lalu tetapi perlu fokus ke kelayakan B-23 AFC ialah Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari dan Safawi Rasid.
Sementara itu, Syed Saddiq memberitahu, kementerian memperuntukkan RM8 juta bagi membiayai penganjuran LTdL edisi ke-24 ini yang berlangsung dalam lapan peringkat dan melibatkan kayuhan keseluruhan sejauh 1,239.6 kilometer.
“Harapan saya ialah perlumbaan ini mampu terus mempromosikan Malaysia dan Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan seperti yang disarankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain membudayakan sukan berbasikal pada kalangan anak muda,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan