
KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mahu pengurusan skuad muda negara mengambil tanggungjawab atas kegagalan mereka menempah tiket ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok tahun depan.
Katanya, kesilapan beberapa keputusan termasuk merehatkan ramai pemain utama ketika menang tipis 1-0 ke atas Laos punca sebenar pasukan gagal meraih tiket ke pusingan akhir.
“Pengurusan pasukan perlu dirombak kerana setiap kali gagal berpunca daripada perancangan yang tidak betul dilakukan oleh pengurusan pasukan.
“Anda sudah tidak mahu dengar macam-macam alasan seperti nak bagi pemain rehat secukupnya untuk perlawanan akan datang, pemain cedera atau tak cergas, semuanya dah tak boleh dengar lagi.
“Dulu masa kami (pasukan Olimpik 1980), jurulatih sentiasa turunkan kesebelasan terbaik dan terkuat tidak kira lawan pasukan mana sekalipun termasuk pasukan dianggap lemah.
“Tapi, sekarang boleh pula nak cuba-cuba atau melakukan eksperimen kerana bila dalam pertandingan sebenar istilah nak cuba-cuba dah tak ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagi bekas pengendali Harimau Muda A (nama dulu untuk skuad B-23), Azraai Khor Abdullah, anak didik skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memiliki ramuan yang cukup baik dan sepatutnya mereka layak ke pusingan akhir.
“Inilah bola sepak, kadang-kadang kejam. Kalau ikutkan pada pandangan saya, skuad ini sudah baik cuma ada sedikit kelemahan di bahagian serangan.
“Saya lihat rata-rata pemain sudah sedia untuk mengisi dan membintangi skuad senior negara. Saya harap kelompok pemain ini akan diberi peluang dengan pasukan senior,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan