PEMAIN Harimau Malaya, Faiz Nasir membuat percubaan ke arah gol lawan dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Air Marine di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
KUALA LUMPUR 23 Mac - Skuad Harimau Malaya membukti mereka mampu bangkit daripada kekecewaan dengan melakar kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga-keempat Piala Air Marine di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kekalahan kepada Singapura menyaksikan pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe melakukan rombakan beberapa pemain dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Faiz Nasir, Hadin Azman dan Halim Saari di bahagian tengah, sekali gus merubah keseluruhan permainan berbanding ketika bertemu skuad Lions, Rabu lalu.
Bermain dalam keadaan hujan lebat pada babak pertama, Afghanistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-32 hasil rembatan cantik Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara kembali mengatur serangan dan usaha mencari gol penyamaan berjaya diperolehi menerusi Faiz yang melakukan rembatan menarik bola menuju ke penjuru kanan gawang dikawal penjaga gol, Ovays Azizi pada minit ke-44.
Menuju waktu rehat, Hadin hampir meletakkan nama sebagai penjaring namun percubaannya dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Azizi.
Bersambung babak kedua, anak didik Tan Cheng Hoe terus bersemangat memburu gol kemenangan dan peluang keemasan itu hadir pada minit ke-60 namun Hadin gagal memanfatkan dengan baik meskipun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Afghanistan.
Barisan negara terus memberi tekanan terhadap Azizi dan kali ini menerusi rembatan kencang Halim namun masih gagal menembusi jaringan.
Gol kemenangan yang dinantikan lebih 1,500 penyokong yang hadir memberi sokongan akhirnya diperolehi pada minit ke-84 menerusi jaringan sendiri pertahanan Afghanistan,Abassin Alikhil yang tertampan bola hantaran lintang Matthew.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan