
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Nurul Shafina Jemenon.
KUALA LUMPUR: Meskipun gagal layak ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 23 AFC 2020 di Thailand, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tetap memuji persembahan skuad Datuk Ong Kim Swee yang mencatat keputusan 2-2 dengan China, semalam.
Misi Malaysia ke Bangkok tidak kesampaian selepas gagal berada dalam kalangan empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan bagi saingan kelayakan di Stadium Shah Alam. China layak secara automatik selaku juara Kumpulan J yang turut disertai Laos dan Filipina.
"Skuad kebangsaan mempamerkan corak permainan yang baik dengan semangat juang tinggi.
"Kejayaan pasukan kadang-kala tidak boleh diukur dengan kalah atau menang sebaliknya menerusi prestasi dan corak permainan yang ini saya anggap boleh dipuji kerana mampu beri saingan," katanya yang turut menyaksikan perlawanan berkenaan.
Hadir sama menyaksikan perlawanan itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul dan EXCO FAM.
Turut hadir Menteri Sukan China merangkap Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA), Du Zhaocai selain Timbalan Setiausaha Agung CFA merangkap Pengarah Bahagian Antarabangsa, Roger Luo dan Pengurus Bahagian Antarabangsa CFA, Frank Wei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan